Wednesday, June 16, 2010

Syor tambah biasiswa pelajar sarjana, PhD

TOKOH Guru KAFA 2009, Abdul Halim Taib (tiga dari kiri) dan Zaiton Jamaluddin (tiga dari kanan)  bersama   penerima Anugerah Pelajar Cemerlang UPKK 2009 menunjukkan piala dan hadiah penghargaan masing-masing yang disampaikan Najib semalam.
TOKOH Guru KAFA 2009, Abdul Halim Taib (tiga dari kiri) dan Zaiton Jamaluddin (tiga dari kanan) bersama penerima Anugerah Pelajar Cemerlang UPKK 2009 menunjukkan piala dan hadiah penghargaan masing-masing yang disampaikan Najib semalam.
Dasar tingkat standard, ranking institusi pendidikan negara

KUALA LUMPUR: Kerajaan bercadang menambah bilangan biasiswa kepada pelajar yang melanjutkan pelajaran lepasan ijazah seperti sarjana dan doktor falsafah (PhD) di luar negara secara beransur-ansur.
Datuk Seri Najib Razak berkata, pada masa sama kerajaan akan mengurangkan bilangan biasiswa pelajar yang mengikuti program ijazah pertama dengan hanya meneruskan penajaan kepada mereka yang mengikuti kursus kritikal.
Perdana Menteri berkata, dasar itu bagi membolehkan kerajaan membangunkan institusi negara yang mempunyai ranking dan standard yang tinggi.

“Pada masa ini, kursus kritikal masih diteruskan (di luar negara) sehingga kita dapat membina kapasiti institusi pendidikan dalam negara,” katanya pada sidang media selepas majlis perjumpaan bersama guru Kelas al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) Peringkat Kebangsaan di sini, semalam.

Beliau mengulas gesaan parti komponen Barisan Nasional (BN), khususnya MCA dan MIC yang mahu JPA mengekalkan penajaan pelajar cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) melanjutkan pengajian Program Ijazah Luar Negara (PILN).

Ketua Pemuda MCA, Datuk Dr Wee Ka Siong mahu penajaan itu diteruskan, manakala Presiden MIC, Datuk Seri S Samy Vellu mahu kerajaan mempertimbangkan keputusan kerana ia tidak adil kepada pelajar terutama daripada keluarga miskin.
Terdahulu, dalam ucapannya pada majlis itu, Najib berkata beliau akan mengumumkan kadar baru elaun guru KAFA ketika membentangkan Bajet 2011, Oktober depan.

Beliau berkata, kenaikan kadar baru itu bergantung kepada kedudukan ekonomi negara dan ketika ini kajian sedang dibuat untuk menentukan kadar yang sesuai.

“Saya akan umum sesuatu untuk guru KAFA, tuan puan berdoalah semoga keadaan ekonomi negara semakin kukuh dan baik, negara dapat pendapatan lebih.

“Jika keadaan berterusan, saya tidak lupa untuk memperjuangkan nasib guru KAFA, sebagai pemimpin saya perlu merasai denyut nadi rakyat, saya sedar elaun yang diperoleh guru KAFA sebanyak RM500 tidak memenuhi kehidupan, malah di bawah paras kemiskinan.

“Oleh itu, satu kajian sedang dijalankan untuk melihat apa yang perlu dan mampu dilakukan kerajaan dan saya akan nyatakan perkara ini dalam Belanjawan nanti,” katanya menerima tepukan gemuruh kira-kira 1,200 guru KAFA dari seluruh negara.

Pada masa ini, 34,281 guru Kafa menerima elaun bulanan sebanyak RM500, iaitu di bawah paras kemiskinan sebanyak RM720 yang ditetapkan kerajaan.

-bharian

No comments:

Post a Comment

Related Posts with Thumbnails