Wednesday, June 16, 2010

Perbanyak program agama’

KUALA LUMPUR: Program realiti berbentuk keagamaan sepatutnya diperbanyakkan bagi melahirkan lebih ramai golongan muda yang berperwatakan agama serta mampu menjadi contoh kepada masyarakat.

Penceramah bebas, Datuk Dr Hassan Din Al-Hafiz, berkata program seumpama itu wajar dijadikan platform untuk golongan muda menunjukkan kebolehan dan pengetahuan serta mendapat pendedahan luas bidang agama.
“Mereka yang dipilih semuanya ada ilmu agama kerana sudah diuji panel berkelayakan. Mungkin dengan cara ini, lebih ramai remaja berminat untuk mendalami agama sekali gus menjadikan mereka ikon yang benar-benar layak untuk dicontohi.
“Tentulah mereka yang masuk program ini tahu keupayaan diri dan bukannya sekadar suka-suka. Mereka juga patut menerima ganjaran setimpal malah mungkin lebih kerana ia bersifat ilmiah dan bukannya hiburan semata-mata,” katanya mengulas persoalan pembaca melalui ruangan Surat & E-mel akhbar ini berhubung kredibiliti bakal pemenang program realiti sebuah stesen TV pencarian Imam Muda kerana ia dipengaruhi unsur material.

Sementara itu, Pensyarah Kanan Universiti Pertahanan Malaysia, Dr Ridhuan Tee Abdullah, berkata peserta yang menyertai program realiti keagamaan pasti tahu matlamat sebenar yang ingin diperoleh serta bersedia menghadapi cabaran sesuai dengan status imam muda.

“Sebelum masuk program agama, peserta tentu sudah cermin diri mereka dan bersiap sedia daripada pelbagai aspek, jadi usia muda bukannya alasan untuk kita mengukur ilmu seseorang.

“Kita tak boleh mempertikai ketinggian ilmu agama mereka hanya disebabkan usia, tidak mustahil mereka lebih bijak daripada orang yang lebih tua.
“Selain itu, soal riak atau takbur bukan hak orang lain untuk menilainya sebaliknya kita harap mereka mengekalkan identiti bercirikan Islam dan bertanggungjawab dengan amanah yang diberikan,” katanya yang turut menyifatkan program realiti agama boleh membentuk persekitaran ilmu kepada masyarakat.

bharian

No comments:

Post a Comment

Related Posts with Thumbnails