Thursday, June 24, 2010

Kontraktor 'beli' pegawai JKR punca bangunan runtuh

Kejadian siling runtuh di tiga pejabat Kerajaan akhir-akhir ini semakin menimbulkan tanda tanya kepada rakyat tentang apakah yang berlaku disebalik pengurusan dan kontrak penyelenggaraan bangunan pejabat-pejabat Kerajaan pada hari ini.

Keruntuhan berganda Projek Kerajaan Barisan Nasional ini menimbulkan banyak keraguan sama ada dari aspek pembinaan, pemantau projek, penyelenggaraan dan pengurusan bangunan Kerajaan.



Kompleks Mahkamah Jalan Duta dibina dengan kos RM270 juta telah runtuh silingnya, manakala kejadian siling runtuh akibat paip pecah di ibu pejabat Jabatan Imigresen dan Dewan Serbaguna Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi di Putrajaya juga berlaku di bangunan baru milik kerajaan yang dibina dengan kos beratus-ratus juta ringgit.

Apakah yang dilakukan oleh kontraktor penyelenggaraan bangunan-bangunan ini. Adakah ia benar-benar salah kontrator penyelenggaraan atau kontraktor yang membina bangunan tersebut.

Bagaimana dengan arkiteknya, apa pula yang telah dilakukan oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) yang dikelolakan oleh Kementerian Kerjaraya di bawah Samy Vellu.

Setahu saya, bangunan Kerajaan tidak mempunyai Sijil Layak Manduduki (CF) kerana semua urusan pemeriksaan bangunan dan pengesahan dikeluarkan oleh Jurutera JKR sendiri.

Oleh itu, secara tidak langsung kita boleh beranggapan bahawa pihak JKR bertanggungjawab bagi memeriksa dan membuat perakuan sebelum kunci bangunan berkenaan diserahkan pada Jabatan Kerajaan yang menjadi pelanggan mereka.

Namun, tiga kejadian yang berlaku dalam bulan Mac menimbulkan banyak tanda tanya. Adakah Jurutera JKR benar-benar membuat pemeriksaan dan pemantauan tehadap setiap projek pembinaan bangunan kerajaan atau sekadar melepaskan batuk ditangga sahaja.

Skandal dalam sektor pembinaan negara begitu banyak dikaitkan dengan JKR. Tahun lepas negara kecoh pasal jejambat MRR2 dan Lebuhraya bertingkat Ampang yang retak.

Selain itu, isu keretakan bangunan MATRADE dan sekolah dibeberapa tempat serta kes siling makmal komputer MRSM yang runtuh dan Hospital yang berkulat telah membawa banyak masalah bukan sahaja kepada rakyat tetapi kepada ekonomi negara kerana jutaan ringgit lagi terpaksa dibelanjakan untuk tujuan pembaikkan.

Pembaziran ini tidak seharusnya berlaku seandainya pihak JKR mengambil langkah yang proaktif dalam menilai semula syarat-syarat pemberian kontrak dan membuat pemantau rapi terhadap setiap projek kerajaan.

Saya difahamkan bahawa kebanyakan kontraktor yang mendapat tender projek telah menghabiskan ribuan ringgit bagi membeli hati segelintir pegawai-pegawai JKR yang datang ke tapak projek untuk tujuan pemantauan.

Pegawai-pegawai ini, dihadiahkan dengan pelbagai hamper dimusim perayaan dan makan di tempat-tempat mewah bersama kontraktor ini bagi membincangkan perkembangan projek.

Selain itu, terdapat juga segelintir Jurutera JKR yang tamak, membuka syarikat sendiri menggunakan nama adik beradik atau berkongsi dengan rakan diluar bagi merebut tender projek.

Ini adalah satu tindakan yang halal tetapi amat dilarang dalam Islam sekiranya ianya menimbulkan keburukan seperti sikap sambil lewa dan tidak tegas terhadap kelemahan kontraktor yang mana pegawai tersebut mempunyai kepentingan tersendiri dalam syarikat tersebut.

Berbalik pada isu keruntuhan syiling bangunan Pejabat Mahkamah KL, MECD dan Imigresen, Kerajaan seharusnya membentuk satu Suruhanjaya Khas bagi memantau projek-projek Kerajaan. Kerajaan sebelum ini telah membentuk Badan Bertindak Pelaksanaan Negara (BBPN).

Dalam mesyuarat pertamanya pada 19 April 2006 BBPN telah memutuskan agar Sistem Pengurusan Projek dan Program (PPP) diperkenalkan oleh Direktorat Pelaksanaan Negara (DPN) bagi memastikan semua projek Kerajaan dalam RMK9 dapat dipantau dengan sistematik.

Dua unit di Jabatan Perdana Menteri (JPM) iaitu Unit Perancang Ekonomi (EPU) dan Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) berfungsi sebagai sekretariat BBPN yang diketuai oleh Effendi Norwawi. Dan ini masih lagi menimbulkan keraguan pada rakyat atas ketelusan pemberian dan pemantauan projek oleh Jabatan Kerajaan itu sendiri kerana kuasa pemberian projek dan pemantauan masih berlegar dalam organisasi yang sama di bawah Perdana Menteri dan Samy Vellu.

Oleh itu, saya mencadangkan agar satu Suruhanjaya Khas Pembinaan Negara (SKPN) diwujudkan bagi memantau projek-projek Kerajaan khususnya yang melibatkan kos jutaan ringgit.

Ahli-ahli Suruhanjaya ini haruslah dianggotai oleh kumpulan profesional yang datang dari pelbagai latar belakang seperti Jurutera, Pegawai Undang-Undang, Pakar Kewangan dan Perunding yang tiada kepentingan.

Kerajaan juga harus memberikan peluang kepada wakil-wakil profesional dari parti pembangkang menyertai Suruhanjaya ini bagi memastikan elemen Check and Balance serta transparent dapat diwujudkan.

Kerajaan harus memandang secara lebih serius dan terkehadapan bagi memastikan rasuah duit dan bukan duit yang melingkari projek-projek kerajaan selama ini dapat dirungkaikan sesuai dengan misi Kerajaan sendiri yang ingin memerangi Rasuah.

Jika tidak, maka akan lebih banyak lagi runtuhan akan kita dengar dan lihat selepas ini.

Kita terlalu banyak berbangga dengan pencapaian bangunan tertinggi, kompleks mahkamah kedua terbesar, serta keindahan projek mega Putrajaya yang mana, disebalik keindahan itu terdapat ulat dan anai-anai yang giat memamah kebanggaan ini.

Oleh itu, tindakan segera dan pantas harus diambil bagi memastikan ulat dan anai-anai ini dapat dihapuskan. Kita tidak mahu kakitangan Kerajaan dan rakyat yang berurusan dikaunter Kerajaan terus ketakutan kerana dilema yang melanda Industri Pembinaan negara sekarang.

Hari ini di Kompleks Mahkamah KL, Imigresen, MECD, MATRADE, MRR2, MRSM dan banyak lagi, esok bangunan mana pula yang akan runtuh?_

-herman samsuden

No comments:

Post a Comment

Related Posts with Thumbnails