Tuesday, June 29, 2010

20 tahun tanpa elektrik, air bersih

I, 29 Jun: PAS Kawasan Miri mendesak agar pihak yang berwajib mengambil berat permasalahan rakyat dan bukan hanya pandai menabur janji-janji kosong ketika pilihan raya.

Yang Dipertua PAS kawasan, Jofri Jaraiee merasa kesal dengan apa yang berlaku kepada beberapa keluarga di Kampung Batu Satu yang masih belum mendapat bekalan air bersih dan elektrik walaupun sudah menetap di situ sejak 15 hingga 20 tahun lalu.

Katanya, penduduk berkenaan berhak untuk mendapat segala kemudahan yang sepatutnya memandangkan kampung itu masih lagi terletak di dalam lingkungan Bandaraya Miri.

Beliau dihubungi oleh wakil penduduk di kampung itu mengenai beberapa buah rumah yang belum mendapat kemudahan elektrik dan air bersih.

Sejurus mendapat pangilan tersebut, Jofri bersama-sama setiausaha PAS kawasan, M Arifiriazul Paijo bergegas ke kampung itu untuk berjumpa dengan wakil penduduk.

Kampung Batu Satu terletak lebih kurang 17 kilometer dari pusat Bandaraya Miri dan terletak di dalam Dun Senadin.

Berdasarkan maklumat yang disampaikan oleh wakil penduduk iaitu Roslan dan Omar, sebanyak 15 buah rumah yang masih lagi belum mendapat kemudahan elektrik dan air bersih.

Penduduk-penduduk terbabit telah menetap di kampung tersebut lebih kurang 15 hingga 20 tahun.

Ekoran itu, penduduk terbabit terpaksa menggunakan generator yang terpaksa dibeli sendiri dengan kos RM1,500 hingga RM2,000.

Menurut Jofri, penduduk hanya menggunakan generator bermula jam 6 petang sehingga 10 malam akibat daripada kos penggunaannya yang tinggi.

(Gambar: Jofri meninjau rumah penduduk.)

Katanya, purata kos harian penggunaan generator bagi setiap isi rumah adalah RM6 bagi setiap 4 jam atau lebih kurang RM180 setiap bulan.

“Kos ini jauh lebih mahal berbanding jumlah bil yang perlu dibayar bagi pengguna elektrik bermeter. Dalam pada masa yang sama, penduduk terpaksa menggunakan saluran paip air dari penduduk kampung yang lain,” ujarnya.

Untuk rekod, permasalahan tersebut telah beberapa kali diajukan kepada pihak yang berwajib dan kali terakhir kepada Adun Senadi, Lee Kim Shin pada 18 April lalu ketika lawatan rasmi beliau ke situ namun masih belum ada tindakan positif dilakukan.

-harakahdaily

No comments:

Post a Comment

Related Posts with Thumbnails