Saturday, June 19, 2010

Pertempuran etnik cubaan cetus perang 2 negara

TASHKENT: Presiden Uzbekistan, Islam Karimov, berkata pertempuran etnik yang tercetus di Kyrgyzstan didalangi ‘pihak ketiga’ yang mahu menjerumuskan negara Asia Tengah itu ke kancah peperangan dengan Kyrgyzstan.

“Saya tidak menganggap apa yang berlaku di Kyrgyzstan sekarang sebagai konflik etnik kerana etnik Kyrgyz dan Uzbek tidak mempunyai alasan untuk berbuat demikian.
“Kedua-dua pihak tidak boleh dipersalahkan kerana perkara ini didalangi pihak ketiga,” katanya yang dipetik agensi berita Russia, RIA-Novosti.
Karimov berkata pihak yang mencetuskan provokasi mahu membabitkan Uzbekistan ke dalam konflik itu tetapi beliau menegaskan, negaranya tidak akan terpengaruh dengan konflik di negara asing dan tidak akan membenarkan ia merebak ke wilayahnya.

“Kami mempunyai kekuatan dan pengalaman yang cukup untuk mengatasi masalah ini dengan Kyrgyzstan,” katanya.

Pertempuran etnik yang berlaku di Kyrgyzstan adalah yang terburuk pernah berlaku di negara itu sejak kejatuhan Kesatuan Soviet.

Pemimpin kerajaan sementara Kyrgyzstan, Rosa Otunbayeva berkata kelmarin, angka kematian mungkin mencapai 2,000 orang,10 kali ganda lebih ramai berbanding perangkaan rasmi kerajaan, manakala Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) berkata 400,000 orang menjadi pelarian.
Sementara itu, utusan Amerika ke Asia Tengah, Robert Blake berunding dengan pemimpin kerajaan sementara selepas Jabatan Negara berkata bekas presiden yang digulingkan, Kurmanbek Bakiyev, mungkin bertanggungjawab terhadap keganasan itu.
Blake yang melawat kem pelarian di Uzbekistan kelmarin menyifatkan keadaan yang berlaku sebagai krisis kemanusiaan. Beliau turut menggesa supaya siasatan antarabangsa dilakukan.

Amerika dan Russia yang mempunyai pangkalan udara di negara itu melahirkan kebimbangan keganasan mungkin merebak ke bahagian lain di Asia Tengah, wilayah bekas Soviet bersempadan dengan Afghanistan.

Dalam satu kenyataan yang dikirim ke laman web Jabatan Negara, Setiausaha Negara Hillary Clinton berkata. Kurmanbek Bakiyev mungkin mendalangi serangan itu.

“Sudah pasti Bakiyev yang meninggalkan negara itu beberapa bulan lalu masih mempunyai penyokong setia dan akan menentang kerajaan sementara. Perkara ini perlu dipandang serius,” katanya.

Bakiyev yang kini tinggal di Belarus, bagaimanapun, menafikan sekeras-kerasnya dakwaan itu. – AFP/Reuters
-bharian

No comments:

Post a Comment

Related Posts with Thumbnails