Thursday, June 17, 2010

Kedah giat bangunkan tanah terbiar

ALOR SETAR, 17 Jun: Jabatan Pertanian di negeri ini sedang giat membangunkan tanah-tanah terbiar di seluruh Negeri Kedah yang dianggarkan seluas 2,400 hektar.

Menteri Besar, Datuk Seri Ustaz Azizan Abdul Razak berkata, kejayaan Jabatan Pertanian memajukan seluas 475 hektar tanah terbiar di negeri ini sejak tiga tahun lalu harus dipuji.

“Ia mengambil kira kesukaran dan halangan yang terpaksa ditempuhi dalam mengenal pasti tuan-tuan tanah serta mendapatkan usahawan yang sanggup melabur dalam memajukan tanah-tanah terbiar berkenaan,” ujarnya.

Beliau berkata demikian pada majlis Seminar Pemantapan Kerjaya dan Pembangunan Modal Insan Pembantu Pertanian, Jabatan Pertanian Negeri Kedah Darul Aman di Hotel Seri Malaysia, di sini baru-baru ini.

Menurutnya, kerajaan negeri melalui GLC mempunyai perancangan yang besar untuk memajukan tanah-tanah negeri dengan komoditi tanaman seperti buah-buahan, jagung dan lain-lain tanaman berpotensi seperti tanaman herba di Bio Valley, Kulim.

“Saya difahamkan bahawa Jabatan Pertanian sedang melaksanakan Sistem Pengembangan Tekno Pertanian (SPTP) yang menitikberatkan aspek pemindahan teknologi pertanian kepada golongan sasar yang terdiri dari syarikat-syarikat swasta, kelompok-kelompok tani, usahawan tani dan orang-perseorangan melalui lawatan dan latihan berkala mengikut kawasan perkhidmatan Pembantu Pertanian di seluruh daerah di Negeri Kedah,” jelasnya.

Menteri Besar memberitahu, Kerajaan Negeri Kedah melihat betapa pentingnya Jabatan Pertanian dalam melaksanakan Pelan Hala Tuju Pertanian Negeri Kedah ke arah menjadikan negeri ini sebagai ‘Holland of The East’.

Di samping itu, katanya, peranan Pembantu Pertanian sebagai barisan hadapan adalah seiring dengan peranan penghulu-penghulu yang berfungsi sebagai agen perubahan kepada masyarakat tani.

Tambahnya, pendekatan seumpama itui seharusnya diperluaskan skop latihannya kepada semua kategori pegawai dan Jabatan Pertanian bagi tujuan mengekalkan tahap kecemerlangan perkhidmatan yang berkualiti mengikut skop kerja masing-masing.

“Justeru itu, perancangan Jabatan Pertanian dalam memastikan program latihan ini harus dibuat dengan rapi sama ada dari aspek penganjuran, perbelanjaan dan sebagainya,” katanya.

Beliau menjelaskan, seminar yang bertemakan integriti itu dilihat sebagai satu pendekatan terbaik dan seharusnya dijadikan calendar tahunan dalam program latihan pegawai Jabatan Pertanian.

Integriti, ujarnya, amat penting dalam usaha mengurangkan gejala rasuah, penyelewengan dan salah guna kuasa di samping meningkatkan kecekapan dalam sistem penyampaian perkhidmatan awam serta mengatasi karenah birokrasi.

“Kerajaan negeri akan memberi sokongan padu dalam pelaksanaan seminar seumpama ini ke arah mewujudkan kumpulan pekerja yang berinovatif dan memiliki saksyiah diri yang tinggi,” katanya.

-harakahdaily

No comments:

Post a Comment

Related Posts with Thumbnails