Friday, June 18, 2010

Pas sudah sedia: Nik Aziz

KOTA BHARU - Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata, Pas bersedia menghadapi Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) sekiranya Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak memutuskan untuk mengadakannya dalam tempoh terdekat.

Menurutnya, beliau tidak menolak kemungkinan Najib akan mengumumkan tarikh pilihan raya itu secara mengejut sebagaimana yang dijelaskan sebelum ini.

Bagaimanapun, Menteri Besar Kelantan itu berkata, adalah tidak wajar sekiranya pendekatan kejutan digunakan sebaliknya kerajaan seharusnya memberi tempoh tertentu sebelum mengadakan pilihan raya bagi membolehkan parti bertanding membuat persediaan.

“Kalau dia (BN) bersedia kenapa kita tidak, (tetapi) bagi sebuah negara demokrasi tidak boleh buat macam itu (pilihan raya mengejut), mereka yang mengamalkan demokrasi harus umumkan tiga bulan sebelum pilihan raya bagi memberi peluang kedua-dua pihak boleh bersedia,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan kuliah mingguan Jumaat di Dataran Ilmu, di sini, semalam.

Beliau diminta mengulas kenyataan Perdana Menteri baru-baru ini bahawa tarikh pilihan raya tidak akan diadakan dalam masa terdekat dan pengumuman mengenainya akan dibuat sebagai suatu kejutan.

Terdahulu dalam satu majlis di Kuala Terengganu, bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamed berkata, PRU-13 boleh diadakan dalam masa terdekat memandangkan tahap kepuasan hati rakyat terhadap kepimpinan Najib meningkat kepada 72 peratus.

Dalam masa yang sama, Setiausaha Agung Pas, Datuk Mustafa Ali dilaporkan berkata, tarikh paling awal Perdana Menteri akan mempertimbangkan bagi diadakan PRU-13 adalah pada April tahun hadapan dan diadakan serentak dengan Pilihan Raya Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak.

Dalam pada itu, Nik Abdul Aziz berkata, beliau yakin Pas akan menumbangkan kerajaan BN dalam PRU ke-13.

No comments:

Post a Comment

Related Posts with Thumbnails