Friday, June 18, 2010

Kaji semula GSA tindas peneroka, untungkan Felda

KUALA LUMPUR, 18 Jun: Kerajaan Barisan Nasional diseru menyemak dan meneliti semula Akta Kawasan Tanah Berkelompok 1960 (GSA) kepada peneroka tanah rancangan Felda kerana ia dilihat menindas peneroka dan menguntungkan pihak pengurusan Felda semata-mata.

Ahli Parlimen Padang Terap, Mohd Nasir Zakaria (gambar) ketika membahaskan Rancangan Malaysia ke-10 di Dewan Rakyat semalam berkata, terdapat perkara berbangkit yang menimbulkan rasa tidak puas hati peneroka selepas 50 tahun kewujudan akta itu.

Antaranya mengenai keengganan Felda menyerahkan 10 ekar tanah seperti yang dijanjikan kepada peneroka meskipun hutang mereka sudah dilangsaikan.

Perkara berkenaan pernah dibangkitkan pengerusi Persatuan Anak Peneroka Felda (Anak) Mazlan Aliman sebelum ini.

"Ada beberapa persoalan berbangkit selepas 50 tahun akta ini berjalan. Di antara perkara utama ialah apabila bayaran balik sudah dibuat peneroka, beberapa polisi baru dilihat telah digubal semula oleh pihak Felda yang telah menyebabkan hak milik 10 ekar tanah tidak diberi sepenuhnya kepada peneroka.

"Felda seolah-olah ingin mengekalkan peneroka sebagai pekerja mereka dan mereka mengaut keuntungan yang besar tanpa mempedulikan banyak hak dan kebajikan peneroka," katanya yang juga Ahli Jawatankuasa Dewan Pemuda PAS Pusat.

Selain itu, turut dibangkitkan beliau mengenai kegagalan Felda memberi wang tanam semula yang dicarum peneroka sejak mereka mula menyertai tanah rancangan lagi dan enggan menyerahkan urusan tanam semula kepada mereka.

"Beberapa pihak mempersoal tentang tabung tanam semula yang dicarumkan para peneroka selama dua puluh tahun mereka menyertai rancangan Felda. Ada masalah berbangkit apabila dikatakan bahawa Felda urusan tanam semula kepada mereka sendiri dan dianggarkan berlaku di seluruh Felda seluruh negara.

"Begitu juga ada peneroka yang telah menyerahkan ladang mereka untuk ditaman semula oleh Felda tapi wang caruman hanya dibayar separuh dan separuh lagi kononnya untuk input pertanian.

"Walaupun sudah diberikan hak milik, kenapa mereka masih belum diberi kuasa untuk menjual dan menguruskan sendiri ladang-ladang mereka ini?" soalnya.

Beliau turut mempersoal mengenai kewujudan tanah rancangan di bawah Felda Plantations yang bertentangan dengan akta GSA.

"Dalam akta GSA hanya ada dua jenis pemilikan tanah iaitu pemilikan individu peneroka ataupun melalui koperasi yang diluluskan oleh Felda. Yang berlaku sekarang terdapat banyak tanah yang dicatatkan di sini, Felda Plantations mempunyai ladang seluas 3,800 hektar di seluruh negara.

“Jadi ini bertentangan dengan akta yang dibentangkan di peringkat awal dan sekiranya Felda Plantations ini diberikan kepada peneroka, hampir 80 ribu orang peneroka baru akan mendapat manfaat.

"Ada beberapa pihak membangkitkan tentang tidak sahnya dan terbatalnya pemilikan oleh Felda Plantations ini yang bercanggah dengan akta GSA yang hanya membenarkan pemilikan dalam bentuk individu dan koperasi," katanya.

Rabu lalu, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Ahmad Maslan berkata Kerajaan tidak bercadang mengkaji semula Akta Penempatan Berkelompok (GSA) 1960 bagi membolehkan tanah yang diberikan kepada Felda Plantations diambil kembali dan dimanfaatkan untuk penempatan generasi kedua.

Beliau terus mempertahankan akta GSA dengan alasan untuk kepentingan peneroka kerana dapat mengelakkan pemecahan tanah yang akhirnya membawa kepada saiz kecil yang tidak ekonomik dan mengelakkan daripada tanah tergadai.

-harakahdaily

No comments:

Post a Comment

Related Posts with Thumbnails