Saturday, June 19, 2010

Syarikat rokok sasar wanita

Iklan khas pikat golongan hawa

KUALA LUMPUR: Kepercayaan merokok boleh membantu untuk kekal langsing adalah kebenaran yang terlalu kecil berbanding komplikasi kesihatan dan kesengsaraan berpanjangan penyakit kronik seperti barah akibat tabiat buruk berkenaan.
Ketua Penolong Pengarah Kanan Bahagian Kawalan Penyakit, Kementerian Kesihatan, Dr Zarihah Mohd Zain, (kanan) berkata kepercayaan itu mungkin dibangkitkan atas alasan kajian perubatan menunjukkan tabiat merokok menekan selera makan, menjejaskan saraf rasa lidah sekali gus menyebabkan makanan tidak berasa sedap.
“Bagaimanapun memilih rokok sebagai cara menguruskan badan adalah tidak bijak kerana ada banyak cara boleh digunakan untuk kurus, misalnya bersenam dan mengawal pemakanan.
“Malah, bukan semua orang kurus disebabkan rokok kerana ada perokok yang gemuk. Apa maknanya kurus kalau berhadapan dengan komplikasi penyakit kronik seperti barah?” katanya ketika dihubungi Berita Minggu.

Beliau mengulas laporan akhbar ini semalam mengenai tindakan seorang remaja perempuan sanggup menghabiskan hampir RM15,000 sepanjang tempoh tiga tahun merokok dengan alasan kekal langsing dan menghilangkan tekanan.

Dr Zarihah berkata, di seluruh dunia, perokok wanita merangkumi 20 peratus keseluruhan perokok di seluruh dunia iaitu seramai satu bilion orang. Namun epidemik merokok di sesetengah negara semakin meningkat.
“Di saat negara maju menunjukkan kadar penurunan perokok lelaki dan perempuan, berlaku pula peningkatan perokok wanita di negara seperti Malaysia misalnya. Wanita memang dijangka menjadi sasaran dalam strategi pemasaran rokok bagi menggantikan perokok sedia ada,” katanya.

Malah, strategi pemasaran itu turut membabitkan saiz kotak rokok yang dikeluarkan khas bagi perokok wanita seperti berwarna merah jambu dan bersaiz kotak gincu. Sementara, laporan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menyebut syarikat tembakau berlumba-lumba meningkatkan iklan menarik wanita dan gadis remaja menjadi perokok.

Data dari 151 negara menunjukkan tujuh peratus remaja perempuan merokok berbanding 12 peratus remaja lelaki. Sementara di sesetengah negara, kadar remaja perempuan merokok lebih berganda. Misalnya di Norway, Nauru, Cook Island dan Sweden manakala trend peningkatan perokok wanita dikesan di Malaysia, Kemboja dan Bangladesh.

“Ancaman terbesar wanita sekarang adalah syarikat tembakau di seluruh dunia mensasarkan mereka terutama di negara membangun. Di seluruh dunia, 47 peratus lelaki merokok berbanding hanya 12 peratus wanita. Namun, trend itu akan berubah jika sasaran pemasaran itu tidak dibanteras,” katanya.
-bharian

No comments:

Post a Comment

Related Posts with Thumbnails