Showing posts with label cetus idea. Show all posts
Showing posts with label cetus idea. Show all posts

Tuesday, July 20, 2010

Kerajaan salah, rakyat dihukum


YB V.Sivakumar
Adakah benar bahawa Malaysia akan muflis pada tahun 2019? Kenyataan ini tidak dibuat oleh YB Lim Kit Siang, YB Datuk Seri Anwar Ibrahim ataupun YAB Dato Seri Tok Guru Nik Aziz.

Yang mengeluarkan kenyataan ini adalah seorang pemimpin Barisan Nasional sendiri. Seorang menteri di dalam Jabatan Perdana Menteri telah berani tampil ke hadapan untuk memberitahu rakyat negara ini bahawa negara kita akan muflis dalam tempoh 9 tahun lagi. Beliau menyarankan supaya subsidi yang diberikan kepada rakyat ditarik balik untuk menyelamatkan negara.

Menurut Datuk Idris Jala , hanya dengan cara ini kita boleh menyelesaikan masalah ekonomi yang serius dihadapi oleh negara kita. Jika apa yang disebutkan oleh beliau itu adalah benar, siapakah yang bertanggungjawab dalam hal ini?

Negara kita diperintah oleh komponen BN sejak kemerdekaan sehingga ke hari ini. Jika negara kita menghadapi masalah ekonomi yang begitu meruncing, bukankah itu berpunca daripada ketololan dan salah urus kewangan yang dilakukan oleh kerajaan BN. Sudah tentu kita tidak boleh salahkan DAP, PAS, PKR mahupun rakyat dalam hal ini.

Sebagai contoh, jika sebuah syarikat swasta menjadi muflis, salah siapa? Bukankah itu merupakan tanggungjawab pihak pengurusan syarikat tersebut? Jika benar, bagaimana pula sekiranya sebuah negara menjadi muflis? Bukankah itu merupakan tanggungjawab kerajaan yang memerintah negara tersebut.

Dalam hal ini, jelas bahawa kerajaan BN tidak bijak menguruskan kewangan negara. Wang berjuta-juta ringgit dibelanjakan dengan boros tanpa membawa manfaat kepada rakyat. Kita boleh melihat sendiri berpuluh-puluh projek gajah putih telah mengakibatkan wang rakyat dibelanjakan seperti mencurah garam ke dalam laut.

Dimana perginya khazanah hasil mahsul daripada keuntungan petroleum? Rakyat tahu bahawa Petroleum membuat keuntungan berbillion ringgit setiap tahun. Adakah keuntungan Petronas digunakan dengan cara yang berfaedah atau digunakan oleh kerajaan BN untuk kepentingan politik dan membantu kroni-kroninya? Semua pemimpin-pemimpin BN memekap apabila isu ini dibangkitkan.

Ekonomi Malaysia dalam keadaan bahaya bagaikan biduk tiris menanti karam. Malaysia yang kaya dengan sumber alam dikatakan akan menjadi negara muflis dalam 9 tahun lagi jika polisi-polisi sekarang diteruskan. Yang bersalah ialah kerajaan BN, tetapi yang dihukum pula ialah rakyat kerana subsidi yang dinikmati oleh mereka telah ditarik balik. Ini adalah tidak adil kerana orang bersalah terlepas manakala orang yang tidak bersalah terpaksa menanggung hukuman.

Jika kerajaan BN benar-benar jujur dalam mendahulukan rakyat , sudah tentu pemberian subsidi tidak akan ditarik balik. Tetapi, dalam keadaan sebenar BN cakap tak serupa bikin. Sebuah kerajaan kebajikan tidak akan membebankan rakyat dengan polisi-polisi yang menekan seperti ini.

Tanggungjawab sesebuah kerajaan ialah mengenakan cukai daripada golongan kaya raya dan menggunakan wang itu untuk menyediakan kemudahan awam dan memberi subsidi kepada golongan pertengahan dan miskin. Menurut seorang pakar ekonomi yang bernama Paul A. Samuelson, tindakan makruf mengagihkan kekayaan dengan cara ini akan membawa kepada kepuasan sosial yang lebih tinggi dalam masyarakat.

Dalam konteks Malaysia, cukai terus dikenakan tetapi subsidi ditarik balik. Ini bermakna terdapat bocoran yang amat ketara dalam urusan kewangan negara. Tambahan pula kerajaan bercadang untuk mengenakan GST yang akan menambahkan beban rakyat tidak lama lagi.

Beban rakyat seharusnya dipikul oleh kerajaan, tetapi lain pula keadaan di Malaysia, beban kerajaan terpaksa dipikul oleh rakyat. Oleh yang demikian, kita memerlukan satu forsep baru untuk memegang ekonomi negara supaya tidak tersungkur kedalam senarai negara-negara muflis.

* Tulisan di atas adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian Harakahdaily.net. Harakahdaily.net tidak bertanggungjawab terhadap sebarang implikasi daripada tulisan berkenaan

Saturday, July 3, 2010

Ulama bukan umpama mayat hidup

KUALA LUMPUR, 2 Julai: Ulama mesti dijadikan tempat rujukan, bukan hanya disimpan sebagai bahan untuk dipermainkan dan diperkotak-katikkan, umpama mayat hidup.

Justeru, kata Ustaz Mohd Hosni Mubarak Abdul Hamid, ulama berhak untuk bersuara dan mengeluarkan pendapat sekiranya sesuatu perkara yang diputuskan oleh pihak yang tertentu jelas sekali bercanggah dengan Al-Quran dan as-Sunnah.

“Inilah dia peranan utama ulama dalam masyarakat, bukan hanya dijadikan sebagai boneka yang hanya membisu tidak bersuara, umpama mayat-mayat yang hidup,” ujarnya yang difitnah menyertai Umno bersama-sama segelintir ulama muda, baru-baru ini.

Jelasnya, ulama berperanan membimbing dan mendidik masyarakat serta menasihati pemerintah sekiranya mereka tidak menjalankan segala tanggungjawab dan amanah mengikut kehendak Islam.

“Jika golongan ulama ini hanya sekadar membisu dan berdiam diri dari menyampaikan ajaran Islam yang sebenar, maka sudah tentulah negara dan masyarakat akan mengalami kepincangan,” katanya.

Menurutnya, Islam menggalakkan umatnya agar sentiasa mencari ilmu dan mempersiapkan diri dengan ilmu pengetahuan kerana ilmu merupakan lilin yang akan sentiasa menerangi kehidupan manusia.

Sehubungan itu, bertanyakan hukum hakam dalam Islam kepada para ulama bukanlah bermakna Islam menafikan atau melarang umatnya agar terus mendalami dan mencari ilmu yang bermanfaat atau berfikir bagi menyelesaikan sesuatu permasalahn yang berkaitan dengan Islam.

Bahkan, katanya lagi Islam menggalakkan umatnya agar sentiasa bertanya atau merujuk kepada golongan ilmuan sekiranya mereka tidak mengetahui sebagaimana firman Allah di dalam surah an-Nahl, ayat 43 yang bermaksud: Bertanyalah pada golongan yg berpengetahuan agama sekiranya kamu tidak mengetahui.
“Berpandukan pada ayat di atas, sudah jelas lagi bersuluh bahawa ulama merupakan tempat untuk bertanyakan segala permasalahan yang berkaitan agama,” ujarnya.

Beliau turut memetik hadis Rasulullah s.a.w. riwayat Ahmad, Abu Daud dan Tarmizi yang bermaksud: Barang siapa ditanya mengenai sesuatu ilmu lalu disembunyikannya, maka Allah akan mengekangnya nanti dengan kekangan daripada api neraka pada Hari Kiamat kelak.

Sebuah lagi hadis Nabi s.a.w. yang bermaksud: Sungguhnya ulama itu adalah pewaris para nabi. Para nabi tidak mewariskan dinar dan dirham. Mereka hanya mewariskan ilmu. Maka barang siapa yang mengambil (warisan ilmu) tersebut ia telah mengambil habuan yang paling sempurna. (Riwayat Ahmad, Tarmizi, Abu Daud dan Ibnu Majah).

Allah berfirman yang bermaksud: Sesungguhnya yang takut kepada Allah di antara hamba-hamba-Nya hanyalah ulama. (Surah Faathir: 28)

-harakahdaily

Pendirian Anwar dan PKR tentang Zionis

Nasib rakyat Palestin dan peranan kerajaan zionis Israel menjadi masalah antarabangsa dan kemanusiaan, dan bukan untuk ahli-ahli politik Malaysia mengambil peluang menawan hati para pengundi Melayu beragama Islam. Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) akan sentiasa bersikap adil dan melayan semua rakyat dengan saksama serta rakyat di negara lain yang tertindas.

Empat pemimpin Umno telah menyuarakan pandangan mereka tentang pendirian Anwar Ibrahim berhubung sikap agresif Zionis, terutamanya mengenai artikel dalam The Washington Post yang disiarkan baru-baru ini. Pemimpin-pemimpin Umno ini — Timbalan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin, Menteri Pertahanan Ahmad Zahid Hamidi, Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan Rais Yatim dan Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin — lekas mengambil kesempatan ini untuk memutar belit kenyataan penulis, yang menulis:

Beliau (Anwar) berkata beliau kesal menggunakan istilah "tindakan agresif Zionis", yang biasa digunakan oleh pemimpin bersuara lantang seperti Presiden Iran Mahmoud Ahmadinejad. "Kenapa saya perlu menggunakannya jika sekiranya ia boleh mencetuskan banyak salah faham?" Beliau berkata, "saya perlu lebih berhati-hati."

Sekiranya pemimpin-pemimpin Umno ini tidak dapat memahami Bahasa Inggeris yang mudah ini, maksudnya ialah Anwar kesal menggunakan istilah seperti yang digunakan oleh Presiden Iran kontroversial, iaitu Mahmoud Ahmadinejad, yang boleh menimbulkan salah faham dalam masyarakat antarabangsa. Anwar kemudian secara merendah diri mengakui beliau perlu lebih berhati-hati cara beliau mengkritik kerajaan Zionis Israel, khususnya dalam situasi di mana tuduhan anti-semitik sangat berleluasa.

Bagaimanapun, pendirian Anwar dan KEADILAN tentang tindakan agresif 'Zionis' terhadap rakyat Palestin sangat jelas. Kami mengutuk serangan ganas terhadap kapal flotila Gaza baru-baru ini, diskriminasi, penindasan dan keganasan yang berterusan terhadap rakyat Palestin oleh kerajaan Israel, termasuk menyoal peranan Amerika Syarikat menyokong rejim 'Zionis'. Pada masa yang sama, kami menghormati semua hak orang Yahudi terhadap tanah air sendiri dan juga hidup secara aman bersama orang-orang Islam dan rakyat Palestin beragama Kristian. Malahan kami menolak diskriminasi, penindasan dan keganasan di Malaysia dan di luar negara.

Mengenai sindiran bahawa Anwar rapat dengan orang-orang Yahudi Amerika, beliau secara terbuka menjelaskan bahawa mereka adalah kenalan beliau ketika beliau menjadi Menteri Kewangan Malaysia. Anwar memang menggunakan setiap peluang yang beliau perolehi untuk membangkitkan isu Palestin dan mendesak supaya pertikaian di Timur Tengah ditamatkan segera.

Apa yang kerajaan pimpinan Umno telah lakukan? Menteri Pertahanan Zahid Hamidi telah mengadakan pertemuan sulit dengan rakan sejawatnya dari Israel. Muhyiddin dan Khairy menyokong keputusan Perdana Menteri Najib Tun Razak melantik Apco (yang disyaki mempunyai hubungan dengan Zionis) pada kadar bayaran RM77 juta setahun. Dan lebih mengecewakan ialah tindakan Rais menggunakan kuasanya untuk memastikan media arus perdana mengikut rentak Umno-Barisan Nasional, yang kini menerima nasihat daripada Apco.

Jika kerajaan Umno-BN mahu menyampaikan maklumat terkini tentang nasib rakyat Palestin dan menunjukkan pendirian mereka tentang tindakan agresif 'Zionis', sila arahkan media arus perdana menterjemah dan menyiarkan artikel sepenuhnya dari The Washington Post dan mengatur satu majlis debat melalui siaran terus menerus di antara Anwar dan Najib. Biar semua rakyat Malaysia melihat dan mendengar sendiri apa yang dibuat oleh Apco di Malaysia.
-harakahdaily

Tuesday, June 29, 2010

Kempen Tak Nak Judi diteruskan

1. Vincent Tan mengamuk marahkan Pakatan Rakyat kononnya menjadi punca pihak kerajaan terpaksa menarik balik lesen judi sukan yang telah dijanjikan penganugerahannya kepada Berjaya Group .

2. Saya tidak hairan dengan amukan Vincent Tan yang menyalahkan Pakatan Rakyat kerana beliau adalah seorang yang terkenal sebagai Tauke Judi Negara . Judi adalah perniagaannya dan judi juga adalah kehidupannya.

3. Apa yang menghairankan saya ialah alasan Datuk Seri Najib dalam jawab balas media ketika ditanya kenapa beliau menarik balik lesen judi tersebut . Datuk Najib memberi beberapa alasan , antaranya ialah kerana mengambil kira faktor agama , pandangan rakyat dan kepentingan politik.

4. Secara positifnya saya bersyukur jika ia adalah alasan yang benar - benar melandasi tindakan beliau walau agak "ketinggalan keretapi" justeru agama bukanlah hari ini mengharamkan judi tetapi sejak ribuan tahun yang lalu . Sekurang - kurangnya UMNO kini mula mengambil kira soal agama setelah sekian lama agama sering dipinggiran sempadan parti UMNO , hanya diambil dan dibuang bila perlu .

5. Andai benar alasan - alasan itu mengasaskan tindakan UMNO kini , maka wajarlah UMNO dan BN merancang secara sistematik untuk menghapuskan semula segala maksiat dan mungkar yang telah didirikan sejak lebih 50 tahun mereka memerintah negara ini . Sekurang - kurangnya untuk melihat 50 tahun akan datang , negara kita menjadi negara sifar maksiat dan mungkar yang dianjur dan diluluskan oleh kerajaan .

6. Saya insaf , membasmi maksiat dan mungkar yang telah berakar umbi dalam masyarakat kita hari ini perlukan masa dan tindakan terancang serta berkesan . Persoalannya ...... apakah plan tindakan untuk Amar makruf dan An Nahyu A'nil Mungkar ini dilaksanakan dalam kerajaan UMNO dan BN ?

7. Umum melihat hari ini , maksiat dan mungkar kian bertambah dan implikasinya juga semakin parah . Peningkatan indeks jenayah , seks bebas , gejala buang bayi dan keruntuhan moral dari kalangan remaja semakin tenat . Bagaimana plan kerajaan untuk menanganinya ?

8. Lambakan filem yang tidak bermoral malah melepasi sistem tapisan filem di penyiaran negara , aktiviti hiburan melampau tanpa had dan batas , sistem pendidikan yang rapuh dan tidak melahirkan insan yang soleh serta iklim sosial yang tiada kawalan halal haram oleh pihak berkuasa terus menjadi baja yang menyuburkan pertumbuhan maksiat dan mungkar dalam negara ini .

9. Kerajaan boleh mulakan dari perkara yang telah menjadi persepakatan antara agama seperti pengharaman judi . Selain semua agama menolak judi , kesan langsung judi kepada sosial rakyat dan negara kita juga parah dan membimbangkan . Kerajaan tidak perlu teragak - agak untuk menghapuskannya sebagaimana nekadnya tindakan kerajaan membatalkan lesen judi sukan baru - baru dengan alasan mengambil kira faktor agama . Tiada beza hukum agama pada judi suka dan judi mesin slot serta judi lumba kuda dan lainnya .

10. Saya menyokong tindakan Gerakan Membantah Judi [ GMJ ] yang dianggotai oleh 60 ngo untuk meneruskan Himpunan 3 Julai 2010 biarpun kerajaan UMNO dan BN membatalkan lesen judi sukan tempohari sebagai untuk mengekalkan momentum kesedaran rakyat menolak semua jenis judi .

11. Himpunan 3 Julai ini bukan lagi demonstrasi atau perarakan menuju istana negara tetapi Himpunan Tak Nak Judi di Masjid Negara bagi mendengar ucapan ,taklimat dan penjelasan para pemimpin ngo dari GMJ termasuk pemimpin parti politik yang menolak semua jenis judi . Sebagai contoh Naib Setiausaha Pusat Pembangunan Kebudayaan LLG, Goh Kean Seng, wakil Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur Selangor, Ser Choog Eng dan dari Budayawan Bertindak, Lee Ban Chen adalah antara tokoh - tokoh yang membantah semua jenis judi dari terus diberi ruang bebas beroperasi dalam negara kita .

12. Semasa muktamar PAS ke 56 berlangsung dulu , UMNO kecoh kata PAS hanya haramkan judi sukan lalu menuduh PAS sebagai hipokrit . Hari ini kita buktikan , bahawa PAS tidak hipokrit dan bukan sebagaimana yang didakwa , sebaliknya kita mempunyai komitmen yang tinggi untuk terus berjuang membasmi semua jenis judi maksiat dan mungkar . Justeru itu , sekali lagi Dewan pemuda PAS menyatakan sokongan kepada hasrat GMJ untuk meneruskan himpunan 3 Julai dengan menukar Format menjadi Himpunan Tak Nak Judi.

Ustaz Nasrudin Hassan at Tantawi,
Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat.
-harakahaily

Thursday, June 24, 2010

Najib Gagal Melaksanakan Misi Obama ?

1.Umum mengetahui tahap dendam kesumat musuh - musuh Islam yang diketuai oleh al Musyrikin al Gharbiyyin[barat] khasnya Yahudi Alaihi Laknatullah terlalu tinggi dan tebal. [ realiti ini telah diakui oleh al Quranul Kareem ]

2. Kebimbangan mereka [ musuh Islam ] terhadap kebangkitan Islam di seluruh dunia jelas kelihatan melalui tindak balas mereka yang sungguh luar biasa .

3. Pelbagai tindakan , bermula dengan Ghazwatul Fikri [ serangan pemikiran ] , ancaman dan tekanan ke atas penganut Islam , tangkapan dan seksaan dilakukan kepada pejuang - pejuang Islam , label terrorist dan eksterimis dilemparkan kepada gerakan - gerakan Islam sebagai license to kill , propaganda untuk melemahkan perpaduan ummat Islam dengan kaedah divide and rule , melaga - laga pemimpin - pemimpin Islam dengan fitnah dan tohmahan licik , mencetus pertelingkahan sengit melalui perbezaan mazhab serta menjatuhkan kredebiliti ulama' dan pemimpin gerakan Islam .

4. Ianya adalah tindakan bersepadu antara Yahudi dengan faham zionisme dan Barat dengan gagasan New world Order untuk menundukkan dunia di bawah pengaruh dan penguasaan mereka , lantas Islam dilihat sebagai ancaman terbesar dalam usaha melunaskan hasrat dan cita - cita busuk mereka terutama selepas kejatuhan komunis .

5. Peristiwa 11 september benar - benar dimanafaatkan sebagai turning point untuk mereka menggunakan kekuatan senjata dan tentera ke atas ummat Islam sehinggalah hari ini . Mereka menjajah Afghanistan , Iraq , Palestine dan kini mereka tekun berusaha untuk melumpuhkan Iran dan membelasah mana - mana negara yang cuna melaksanakan Islam .

6. Biarpun bertukar Presiden , sehingga kini dasar dan prinsip Amerika Syarikat tetap memusuhi Islam dan gerakannya . Namun mereka bijak mengatur strategi agar kelihatan di satu sudut , Amerika berbakti dan berlunak dengan ummat Islam sementara dalam masa yang sama merekalah sekutu rapat Israel yang sedang membina penjara manusia terbesar dalam dunia di Ghazzah .

7. Malaysia sebagai sebuah negara yang subur untuk perkembangan Islam tidak terlepas dari kepongan dan pemerhatian musuh - musuh Islam antarabangsa juga rangkaian mereka di dalam negara . Tekad dan hasrat mereka hanya satu iaitu tidak mengizinkan Islam tegak dan berdaulat.

8. Mereka sanggup membunuh wanita , orang tua dan kanak - kanak , menyeksa tahanan , menyerang dan menghancurkan segala struktur pembangunan sesebuah negara tanpa tergambar belas simpati . Menyerang dan membunuh delegasi damai serta misi kemanusiaan yang membawa bekalan makanan , perubatan dan keperluan harian buat ummah yang tertindas. Merekalah terrorist [pengganas] dan merekalah ekstremis yang sebenarnya.

9. Dendam mereka sungguh dahsyat . Mereka turut merencana strategi untuk memburu pejuang - pejuang Islam dan alim ulama' yang berpotensi untuk meninggikan syiar agama . Mereka membina rangkaian yang cukup licik termasuk mewujudkan boneka dari kalangan bangsa yang menjadi sasaran mereka . Lebih ketara , mereka juga berjaya merekrut tokoh - tokoh agama untuk mencetus pertembungan antara alim ulama' dan tokoh pejuang Islam .

10. Perbedaan mazhab dan aliran pemikiran sekali lagi dijadikan turning point untuk mencetus pertelingkahan lalu terhasil label terrorist dan eksterimis , maka akhirnya menjadi asas kukuh kepada mereka [ musuh - musuh Islam ] untuk menangkap , memenjara dan membunuh para alim ulama' yang berjuang untuk menegakkan Islam .

11. Terbaru , melalui satu majlis taklimat khusus dan tertutup oleh pihak tertentu menghasilkan satu lagi kesimpulan dimana Dato' Seri Tuan Guru Hj. Abdul Hadi Awang Presiden PAS buat kesekian kalinya disenaraikan sebagai tokoh wahabi dan pengganas . [ Antara yang turut tersenarai ialah Dr Mohd Asri Zainal Abidin Mantan Mufti Perlis dan Dr Juanda Mufti Perlis sekarang ] .

12. Anehnya , bagaimana majlis taklimat yang disifatkan khusus dan tertutup pula melibatkan pihak keselamatan negara boleh terdedah kepada umum dan menjadi santapan media ? Kini perancangan mereka untuk mensabitkan tokoh - tokoh tertentu sebagai pengganas telah terdedah kepada umum sebelum mereka berjaya membuat tangkapan .

13, Tentunya pendedahan yang dibuat oleh pihak media menyukarkan mereka bertindak justeru mereka terpaksa berdepan dengan persepsi rakyat dan sebagai sebuah kerajaan yang sedang membuat persiapan untuk menghadapi pilihanraya umum , pasti sahaja mereka terpaksa mengambil kira soal persepsi rakyat tersebut. Saya rasa , Barrack Obama sangat tidak senang hati atas kepincangan dan kegagalan anak buahnya di Malaysia menjalankan tugas untuk mensabit dan menangkap pengganas yang sangat dikehendaki oleh mereka.

14. Sebelum ini Menteri Pertahanan Israel sejurus bertemu dengan Dato' Zahid Hamidi sebagai Menteri Pertahanan Malaysia telah mengeluarkan kenyataan rasminya bahawa Tuan Guru Hj Abdul Hadi Awang adalah pengganas yang sangat dikehendaki oleh mereka . Sebuah media di Britain sebelum ini juga telah menggambarkan Tuan Guru Presiden sebagai pengganas namun akhirnya mereka terpaksa akur dan meminta maaf kepada Tuan Guru apabila mereka tewas dalam satu perbicaraan mahkamah di London .

15. Kini lagu lama kembali kedengaran . Tuan Guru Hj Abdul Hadi disenaraikan antara pengganas bersama beberapa tokoh agama yang lain oleh pihak tertentu dalam satu taklimat tertutup yang melibatkan pihak keselamatan negara dan JAKIM .

16. Dewan Pemuda PAS Pusat semalam telah membuat keputusan sebulat suara , setelah menyedari perancangan jahat pihak tertentu untuk menjatuhkan reputasi cemerlang seorang pejuang Islam yang hebat di peringkat nasional dan international sekaligus menyedari cita - cita mereka untuk melumpuhkan gerakan Islam di negara ini , maka Dewan Pemuda PAS Pusat bukan sahaja menafikan Tuan Guru Presiden PAS sebagai pengganas tetapi juga menentang keras niat dan tindakan jahat mereka yang menyenaraikan Tuan guru Hj Abdul Hadi sebagai pengganas .

17. Dewan Pemuda PAS Pusat mencabar supaya pihak - pihak tertentu yang telah melemparkan tuduhan atau tohmahan tersebut supaya bertanggungjawab dan tampil mengemukakan bukti kukuh kepada rakyat secara terbuka atas dakwaan yang telah mereka lemparkan .

18. Jika gagal berbuat demikian , mereka mestilah segera menarik balik segala tohmahan mereka dan memohon maaf secara terbuka kepada Tuan Guru Hj Abdul Hadi khasnya dan kepada PAS amnya sebagai sebuah gerakan Islam yang dipimpin oleh beliau , atau mereka terpaksa berdepan pula dengan tuduhan dari rakyat bahawa merekalah pengganas sebenar yang suka mencetus pertelingkahan dan melemparkan fitnah tanpa asas

Hebah ancaman pengganas undang campur tangan asing

Idris Ahmad
PAS memandang serius dakwaan pihak kerajaan dan Ketua Polis Negara bahawa institut pengajian tinggi negara ini kini sudah dimasuki oleh Jamaah Islamiah (JI) yang dilabelkan sebagai kumpulan pengganas oleh Amerika.

Berita ini diperbesarkan dan menimbulkan suasana yang tidak tenteram dalam negara. PAS kesal kerana isu sebegini sepatutnya diselesaikan secara rahsia bagi memastikan mereka yang disyaki terlibat dengan aktiviti keganasan dapat dibanteras dan tidak melarikan diri. Hebahan media ini hanya memberikan rasa takut kepada rakyat dan peluang untuk pengganas menyembunyikan atau melarikan diri.

PAS sangsi dengan dakwaan yang dibuat kerana setelah seminggu berita ini berlegar di media massa pihak polis masih gagal membuat sebarang tangkapan, sedangkan PDRM adalah antara yang terhebat di dunia untuk memburu penjenayah.

PAS juga merasa bimbang kalau perkara ini dihebahkan akan mengundang campur tangan asing ke atas negara ini seperti yang pernah dialami di Afghanistan. Apa yang merugikan negara ialah kemungkinan pelabur-pelabur takut untuk datang kerana negara kita diancam kumpulan pengganas.

Kementerian Pengajian Tinggi juga mulai panik dan turut mengistiharkan mahu memerangi pengganas yang dilaporkan wujud di kalangan pelajar dan pensyarah. Jika perkara ini benar, bermakna negara kita, universiti kita sudah lama tidak selamat.

PAS mahu kerajaan dan polis berhenti bermain politik dan menyelesaikan isu ini secara profesional. Pihak polis perlu membuktikan dakwaan ini dengan membuat tangkapan dan dakwaan segera di mahkamah.

PAS menolak penggunaan Akta Keseamatan Dalam Negeri (ISA) bagi mereka yang dituduh kerana sehingga ke hari ini penggunaan ISA didapati tidak releven dan hanya menjadi alat bagi menutup kelemahan kerajaan dalam membuat dakwaan. Sewajarnya mereka yang dituduh didakwa di mahkamah dan dibicara sebagaimana cara Indonesia menghadapi gerakan pengganas di negara mereka.

PAS tidak mahu isu ini dipolitikkan untuk menampakkan tidak selesaan dalam negara supaya menakutkan rakyat yang sudah tidak percaya dengan kerajaan BN. Jika zaman Pak Lah dulu, orang sibuk persoalkan isu peningkatan jenayah, kini zaman Najib isu pemerdagangan orang, isu kongsi gelap dan ah long, sindiket judi haram, pengedaran dadah antarabangsa dan pengganas mulai kembali berkuasa.

Bagi PAS, apa yang menjadi keutamaan adalah tindakan pihak polis sendiri. Mereka perlu pantas dalam bertindak dan menjaga keselamatan rakyat, tanpa perlu dipengaruhi oleh kepentingan politik pihak tertentu.

Komitmen semua pihak dalam memastikan negara ini selamat perlu dipertingkatkan dan PAS menyeru semua ahli dan penyokong untuk turut sama menyertai usaha membasmi jenayah di kawasan masing-masing. PAS menolak sebarang aktiviti keganasan dan Islam juga tidak mengajar umatnya untuk menzalimi diri dan orang lain
-harakahdaily

Kontraktor 'beli' pegawai JKR punca bangunan runtuh

Kejadian siling runtuh di tiga pejabat Kerajaan akhir-akhir ini semakin menimbulkan tanda tanya kepada rakyat tentang apakah yang berlaku disebalik pengurusan dan kontrak penyelenggaraan bangunan pejabat-pejabat Kerajaan pada hari ini.

Keruntuhan berganda Projek Kerajaan Barisan Nasional ini menimbulkan banyak keraguan sama ada dari aspek pembinaan, pemantau projek, penyelenggaraan dan pengurusan bangunan Kerajaan.



Kompleks Mahkamah Jalan Duta dibina dengan kos RM270 juta telah runtuh silingnya, manakala kejadian siling runtuh akibat paip pecah di ibu pejabat Jabatan Imigresen dan Dewan Serbaguna Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi di Putrajaya juga berlaku di bangunan baru milik kerajaan yang dibina dengan kos beratus-ratus juta ringgit.

Apakah yang dilakukan oleh kontraktor penyelenggaraan bangunan-bangunan ini. Adakah ia benar-benar salah kontrator penyelenggaraan atau kontraktor yang membina bangunan tersebut.

Bagaimana dengan arkiteknya, apa pula yang telah dilakukan oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) yang dikelolakan oleh Kementerian Kerjaraya di bawah Samy Vellu.

Setahu saya, bangunan Kerajaan tidak mempunyai Sijil Layak Manduduki (CF) kerana semua urusan pemeriksaan bangunan dan pengesahan dikeluarkan oleh Jurutera JKR sendiri.

Oleh itu, secara tidak langsung kita boleh beranggapan bahawa pihak JKR bertanggungjawab bagi memeriksa dan membuat perakuan sebelum kunci bangunan berkenaan diserahkan pada Jabatan Kerajaan yang menjadi pelanggan mereka.

Namun, tiga kejadian yang berlaku dalam bulan Mac menimbulkan banyak tanda tanya. Adakah Jurutera JKR benar-benar membuat pemeriksaan dan pemantauan tehadap setiap projek pembinaan bangunan kerajaan atau sekadar melepaskan batuk ditangga sahaja.

Skandal dalam sektor pembinaan negara begitu banyak dikaitkan dengan JKR. Tahun lepas negara kecoh pasal jejambat MRR2 dan Lebuhraya bertingkat Ampang yang retak.

Selain itu, isu keretakan bangunan MATRADE dan sekolah dibeberapa tempat serta kes siling makmal komputer MRSM yang runtuh dan Hospital yang berkulat telah membawa banyak masalah bukan sahaja kepada rakyat tetapi kepada ekonomi negara kerana jutaan ringgit lagi terpaksa dibelanjakan untuk tujuan pembaikkan.

Pembaziran ini tidak seharusnya berlaku seandainya pihak JKR mengambil langkah yang proaktif dalam menilai semula syarat-syarat pemberian kontrak dan membuat pemantau rapi terhadap setiap projek kerajaan.

Saya difahamkan bahawa kebanyakan kontraktor yang mendapat tender projek telah menghabiskan ribuan ringgit bagi membeli hati segelintir pegawai-pegawai JKR yang datang ke tapak projek untuk tujuan pemantauan.

Pegawai-pegawai ini, dihadiahkan dengan pelbagai hamper dimusim perayaan dan makan di tempat-tempat mewah bersama kontraktor ini bagi membincangkan perkembangan projek.

Selain itu, terdapat juga segelintir Jurutera JKR yang tamak, membuka syarikat sendiri menggunakan nama adik beradik atau berkongsi dengan rakan diluar bagi merebut tender projek.

Ini adalah satu tindakan yang halal tetapi amat dilarang dalam Islam sekiranya ianya menimbulkan keburukan seperti sikap sambil lewa dan tidak tegas terhadap kelemahan kontraktor yang mana pegawai tersebut mempunyai kepentingan tersendiri dalam syarikat tersebut.

Berbalik pada isu keruntuhan syiling bangunan Pejabat Mahkamah KL, MECD dan Imigresen, Kerajaan seharusnya membentuk satu Suruhanjaya Khas bagi memantau projek-projek Kerajaan. Kerajaan sebelum ini telah membentuk Badan Bertindak Pelaksanaan Negara (BBPN).

Dalam mesyuarat pertamanya pada 19 April 2006 BBPN telah memutuskan agar Sistem Pengurusan Projek dan Program (PPP) diperkenalkan oleh Direktorat Pelaksanaan Negara (DPN) bagi memastikan semua projek Kerajaan dalam RMK9 dapat dipantau dengan sistematik.

Dua unit di Jabatan Perdana Menteri (JPM) iaitu Unit Perancang Ekonomi (EPU) dan Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) berfungsi sebagai sekretariat BBPN yang diketuai oleh Effendi Norwawi. Dan ini masih lagi menimbulkan keraguan pada rakyat atas ketelusan pemberian dan pemantauan projek oleh Jabatan Kerajaan itu sendiri kerana kuasa pemberian projek dan pemantauan masih berlegar dalam organisasi yang sama di bawah Perdana Menteri dan Samy Vellu.

Oleh itu, saya mencadangkan agar satu Suruhanjaya Khas Pembinaan Negara (SKPN) diwujudkan bagi memantau projek-projek Kerajaan khususnya yang melibatkan kos jutaan ringgit.

Ahli-ahli Suruhanjaya ini haruslah dianggotai oleh kumpulan profesional yang datang dari pelbagai latar belakang seperti Jurutera, Pegawai Undang-Undang, Pakar Kewangan dan Perunding yang tiada kepentingan.

Kerajaan juga harus memberikan peluang kepada wakil-wakil profesional dari parti pembangkang menyertai Suruhanjaya ini bagi memastikan elemen Check and Balance serta transparent dapat diwujudkan.

Kerajaan harus memandang secara lebih serius dan terkehadapan bagi memastikan rasuah duit dan bukan duit yang melingkari projek-projek kerajaan selama ini dapat dirungkaikan sesuai dengan misi Kerajaan sendiri yang ingin memerangi Rasuah.

Jika tidak, maka akan lebih banyak lagi runtuhan akan kita dengar dan lihat selepas ini.

Kita terlalu banyak berbangga dengan pencapaian bangunan tertinggi, kompleks mahkamah kedua terbesar, serta keindahan projek mega Putrajaya yang mana, disebalik keindahan itu terdapat ulat dan anai-anai yang giat memamah kebanggaan ini.

Oleh itu, tindakan segera dan pantas harus diambil bagi memastikan ulat dan anai-anai ini dapat dihapuskan. Kita tidak mahu kakitangan Kerajaan dan rakyat yang berurusan dikaunter Kerajaan terus ketakutan kerana dilema yang melanda Industri Pembinaan negara sekarang.

Hari ini di Kompleks Mahkamah KL, Imigresen, MECD, MATRADE, MRR2, MRSM dan banyak lagi, esok bangunan mana pula yang akan runtuh?_

-herman samsuden

Wednesday, June 23, 2010

Jambatan Kedua Pulau Pinang : Fakta yang disembunyikan BN


Kenyataan MediaOleh: AnakSungaiDerhaka

"

Ini adalah kenyataan Akhbar yang diterima dari YB Sim Tze Tzin, ADUN Pantai Jerejak berkenaan isu Jambatan Pulau Pinang ke-dua yang mendedahkan beberapa fakta yang cuba disembunyikan oleh Kerajaan Barisan Nasional dari pengetahuan rakyat Malaysia dan warga Pulau Pinang khususnya..



Kenyataan Akhbar Parti Keadilan Rakyat berkenaan isu Jambatan Pulau Pinang ke-dua

22 Jun 2010

Pada Mac 2008, YB Sim Tze Tzin, ADUN Pantai Jerejak pernah bongkar kandungan surat yang ditulis oleh Pengarah Urusan UEM Dato Ahmad Pardas Senin kepada Pengarah Unit Perancangan Ekonomi Datuk Dr. Sulaiman Mahbob. Surat yang bertarikh Ogos 2007 bertajuk “Projek Jambatan Kedua Pulau Pinang – Analisa Kewangan” dihantar ke Parti Keadilan Rakyat oleh seorang “whistle-blower”.

Ada beberapa fakta dalam surat tersebut:

~ Tempoh konsesi sepanjang 45 tahun.
~ UEM meminta Kerajaan Pusat membekalkan Pinjaman Mudah Kerajaan (GSL)
~ UEM meminta pelbagai insentif setinggi RM22.872 juta dari Kerajaan termasuk Elaun Cukai Pelaburan, Bantuan Kerajaam (GG), pinjaman JBIC dan Pinjaman mudah kerajaan.
~ Kos pembayaran projek berjumlah RM4,068 juta.
~ Jangkaan pungutan tol adalah sebanyak RM7,065 juta
~ Kadar tol permulaan untuk Jambatan Kedua Pulau Pinang adalah RM9.40 (Kelas 2), kenaikan tol seterusnya hingga tamat konsesi adalah 2% setahun sehingga 2051.
~ Kadar tol untuk Jambatan Pulau Pinang adalah RM9.40 (Kelas 2) manakala kenaikan tol seterusnya sama dengan Jambatan Kedua Pulau Pinang sehingga tol maksima RM11.50 sehingga 2051 (Konsensi tamat 2018, mengapa sampai 2051?)
~ Tiada lagi diskaun 20% untuk kad Touch & Go

Ketua Menteri terdahulu menafikan kenyataan beliau pada masa itu. Dengan perkembangan terkini, telah mengesahkan bahawa kenyataan Sim benar. Pertaman sekali, baru-baru ini kerajaan telah cuba membatalkan diskaun Touch & Go, tetapi di bawah tekanan rakyat, it terpaksa putar belit dan sekarang ingin membatalkan diskaun kepada warga bukan Pulau Pinang. Minggu lepas, Perdana Menteri telah mengesahkan bahawa kadar tol Jambatan Kedua adalah RM9.40.

Sekarang kita khuatir bahawa kerajaan pusat akan mengikut segala kehendak yang diminta oleh UEM seperti dalam surat ini.

Ada sesuatu yang tidak kena dengan Projek Jambatan Kedua Pulau Pinang. Pada saat genting di mana negara mungkin muflis, kerajaan masih belanja subsidi besar kepada syarikat kroni (sila rujuk bahagian Government Assistance). Kerajaan mengumumkan pelbagai kos pembinaan, dan kos naik mendadak setiap kali, walaupun harga bahan pembinaan telah turun. Kadar tol pula akan naik 34% dari RM7 sehingga RM9.40.

Kontrak pula dirahsiakan. Semua ini harus diberhentikan serta-merta. Parti Keadilan mahu akauntabiliti dari kerajaan Pusat.

Warga Pulau Pinang tertipu kali pertama apabila kerajaan mencadangkan alignment dan rekabentuk tanpa maklum balas dari rakyat. Kemudian, kerajaan sekali lagi runding terus dengan UEM tanpa tender terbuka.

Parti Keadilan Rakyat percaya tender terbuka akan memberi manfaat kepada rakyat Pulau Pinang. Tender terbuka akan membawa kepakaran, teknologi terhebat dan seterusnya mengurangkan kos secara mendadak. Walau bagaimanapun, dengan cara lama UMNO/Barisan Nasional, kroni kekal didahulukan.

Kami ingin menghentikan segala kesongsangan ini. Hari ini kami membongkar surat yang kami dapat pada tahun 2008. Surat ini tidak pernah dibongkarkan kepada umum. Surat ini surat lama, kami percaya sudah ada perkembangan terkini. Tetapi di bawah pentabiran Kerajaan BN yang tidak telus, inilah sedikit maklumat yang kita ada. Atas nama ketelusan, rakyat mempunyai hak kebebasan maklumat.

Maka, Parti KeADILan Pulau Pinang menyeru Perdana Menteri deklasifikasikan Kontrak Jambatan Pulau Pinang ke-2 dengan UEM. Rakyat Pulau Pinang berhak untuk mengetahui kandungan kontrak kerana mereka adalah pengguna jambatan setiap hari, merekalah yang akan bayar tol tersebut!

Jika gagal berbuat demikian, Parti Keadilan Rakyat akan tingkatkan kempen untuk membantah kenaikan tol. Kita akan memobilisasikan rakyat Pulau Pinang untuk menghantar mesej yang jelas bahawa Rakyat Pulau Pinang inginkan Cekap, Akauntabiliti dan Telus dalam isu Jambatan Pulau Pinang.

YB Sim Tze Tzin
Ketua Biro Komunikasi Parti Keadilan Rakyat Pulau Pinang
ADUN Pantai Jerejak

YB Yusmadi
Ahli Parlimen Balik Pulau

YB Sivarasa
Ahli Parlimen Subang

Dokumen berkaitan sila lihat di SINI

http://darisungaiderhaka.blogspot.com/2010/06/jambatan-kedua-pulau-pinang-fakta-yang.html"

Hadi Penganas, Anwar Agen Yahudi, Kit Siang Komunis…Najib Hero

Hadi Penganas, Anwar Agen Yahudi, Kit Siang Komunis…Najib Hero! itulah yang cuba dicipta oleh BN dan media yang bersekongkol dengan mereka. Melompat Dr. Asri bila nama dia pun disebut sebagai pengganas dalam satu taklimat khas PDRM berkaitan isu JI.

Penolong Pengarah Pusat Al-Quran dan Ilmu Teras Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM) Zamihan Mat Zin adalah orang yang dirawikan sebagai pembawa tuduhan ini. Sedikit pun saya tak heran kalau Dr. Asri kena fitnah ini sebab sebelum ini kita dah lama mendengar tuduhan itu.

Bagi Presiden PAS. Tok Guru Abd Hadi, ini sudah kali ketiga beliau dituduh pengganas. 2007, akhbar Daily Mirror kat UK yang tuduh beliau, kemudian tahun lepas Israel pula tuduh beliau sebagai pengganas selepas bertemu Menteri Umno, Zahid Hamidi. Ntah apa yang mereka bincangkan dalam pertemuan sulit itu…tup..tup Presiden PAS dituduh pengganas.

Tapi mana buktinya Presiden PAS pengganas. Kalau Zamihan dan PDRM kata beliau pengganas mana buktinya. Kerajaan pula, dalam program BTN sibuk tunjuk gambar Presiden PAS. BTN gambarkan beliau sebagai orang memecah belahkan rakyat khususnya kaum Melayu.

Tidak cukup dengan itu, Anwar pun dijadikan ikon proksi Yahudi. Itu semua permainan Politik bagi mengaburi rakyat tentang hubungan Kerajaan Malaysia dengan Israel yang disahkan dalam satu minit kabinet pada tahun 1996. Minit itu mengesahkan bahawa Malaysia setuju menjalinkan hubungan dangan dengan Israel.

Tidak cukup dengan itu, Malaysia juga mengunakan khidmat perunding kalangan pelobi Israel seperti Satchi&Satchi (zaman Mahathir) dan APCO (Zaman Najib) untuk menjadi penasihat kerajaan. Siapakah rakan Israel-Zionis sebenarnya?

Lim Kit Siang yang banyak berjuang untuk orang cina dan hak untuk Chin Peng balik ke Malaysia pula dituduh komunis. Senangnya mereka cipta persepsi dan tuduhan. Hanya kerana beliau tuntut apa yang beliau fikirkan patut, beliau pun dituduh sama Komunis. Malangnya hingga kini BN masih gagal membuktikan yang Lim adalah Komunis.

Semua ini sengaja direka dan disebarkan pada rakyat supaya melihat pemimpin Pakatan ini sebagai penderhaka kepada negara dan menonjolkan Najib sebagai Hero. Beliau kononnya penyatu rakyat dibawah gagasan 1 Malaysia.

Tapi rakyat harus terus ingat dasar Liberalisasi Ekonomi Najib yang mengecilkan kuota pemilikan bumiputra dan rakyat bukan bumiputra. Tidak cukup dengan itu beliau bagi free blok minyak L dan M kepada Brunei.

Kemudian, dengan suci hatinya pindahkan Stesen KTM di Tanjung Pagar untuk menyewa di Woodlands. Tanjung Pagar kononya akan dibangunakan secara usaha sama dengan Singapura dengan pembahagian 60:40.

Kemudian Najib cuba gadai Kg. Baru. Satu-satunya Kg. Melayu terakhir di tengah Kuala Lumpur. Kononnya beliau mahu majukan Kg. Baru dan pembangunan juga 60:40 dimana 40 peratus akan dibukan kepada pelabur asing.

Tidak cukup dengan itu. Pangkalan tentera udara di sungai Besi mahu ditutup, juga untuk projek mega Najib bertajuk 60:40.

Apa lagi Najib nak gadai lepas ini untuk dilihat sebagai Hero. Model Ekonomi Baru dicanang satu negara. Tapi sampai sekarang, sekeping kertas pun gagal dibentang di parlimen. Nak perkenalkan GST konon. Rakyat juga jadi mangsa. Subsidi ditarik balik. Wajarkah semua itu dibiarkan berlaku begitu sahaja? Mahukah anda terus menjadikan najib sebagai Hero…kerana beliau hanyalah zero….


http://syukran.wordpress.com/2010/06/23/hadi-penganas-anwar-agen-yahudi-kit-siang-komunis-najib-hero/

Mengapa Kerajaan BN Berbohong?


(Kenyataan Bersama Sahibus Samahah Dr Juanda Jaya dan Dr Mohd Asri Zainul Abidin)

1. Apa yang didakwa oleh banyak pihak, terutama parti pembangkang bahawa isu keselamatan negara yang membabit ancaman pengganas yang digembar-gemburkan oleh pihak kerajaan adalah permainan politik, nampaknya mempunyai asas yang kukuh. Kerajaan Pusat kelihatan memperjudikan isu keselamatan negara yang diada-adakan untuk kepentingan tertentu.

2. Buktinya, laporan Malaysiakini pada 22hb Jun 2010, yang menyatakan bahawa dalam satu taklimat keselamatan negara berhubung JI (Jamaah Islamiah) di Bukit Aman pada 21 Jun, yang dihadiri oleh Menteri, Timbalan Menteri dan TNC-TNC seluruh negara, penceramah yang diundang oleh pihak polis Zamihan Mat Zain dari ILIM telah mendakwa dengan satu dakwaan yang sangat jahat iaitu YB Presidan PAS Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang, YB Dato Seri Shahidan Kassim, kami berdua dan ramai lagi tokoh masyarakat dikaitkan dengan wahabi dan pengganas JI. Demikian dikaitkan pertubuhan JIM dengan rangkaian pemikiran radikal di Timur Tengah.

3. Dakwaan ini sangat jahat. Jelas sengaja diada-adakan. Rakyat Malaysia mengenali pemikiran kami yang sentiasa menyeru kepada Islam yang progresif, keharmonian kaum dan agama, menentang sikap fanatik dan apa sahaja bentuk kekerasan pandangan. Isu-isu kami bawa selama ini sentiasa mendapat perhatian semua agama dan kaum kerana mempamerkan Islam yang “tolerance” dan berpaksikan kesesuaian hidup masyarakat yang serba rencam. Hal ini boleh dirujuk dalam berbagai tulisan dan kenyataan kami. Justeru, Zamihan dan polis wajib bertanggungjawab atas fitnah ini.

4. Bagi kami YB Presiden PAS Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang sama sekali tidak wajar dikaitkan dengan keganasan. Beliau ialah bekas MB Terengganu. Mengetuai sebuah parti politik tanahair sejak sekian lama. Ini melambangkan penghormatan beliau dan partinya terhadap amalan demokrasi dan hak kebebasan rakyat. Tuduhan terhadap beliau telah menghina sebuah parti politik yang selama ini melalui lunas-lunas sistem demokrasi negara ini. Sekali lagi, Zamihan dan polis perlu bertanggungjawab terhadap fitnah ini.

5. Demikian Dato Seri Shahidan Kassim. Bekas MB Perlis dan kini Ahli Majlis Tertinggi UMNO. Naib Presiden PERKIM, Malaysia dan akvitis berbagai kebajikan rakyat. Layakkah orang seperti ini dituduh mempunyai kaitan dengan pengganas. Nampaknya UMNO dan BN sanggup membunuh rakan sendiri dalam memperjudikan kepentingan politik tertentu.

6. Adapun JIM kami tidak mempunyai maklumat yang banyak mengenai mereka. Namun, kami percaya mereka bukan pengganas dan tidak layak dikaitkan dengan tuduhan jijik itu. Sebagai NGO, mereka mempunyai sumbangan kepada negara yang patut dihargai.

7. Pihak polis perlu memberikan penjelasan kepada rakyat terhadap fitnah rambang ini. Siapakah Zamihan sehingga dia digunakan oleh pihak polis untuk membuat agenda jahat ini? Polis sepatutnya menyiasat beliau ini dan hubungannya dengan mentor yang selalu dirujuk kepadanya iaitu Hasan al-Saqqaf. Hasan al-Saqqaf yang terkenal suka menyesat dan mengkafirkan sesiapa yang berbeza pandangan dengannya itu, kini terbabit dengan isu keselamatan negara Jordan.

8. Jika pihak polis tidak menafikan dakwaan Zamihan ini, bererti pihak polis yang dikuasai oleh Menteri Keselamatan Dalam Negeri seakan sengaja menabur fitnah yang tidak berasas.

9. Dengan ini, apa yang disebut oleh beberapa tokoh masyarakat seperti SM Idris dan pihak Pakatan Rakyat bahawa isu ini tiada asasnya kelihatan benar. Bahkan ia berkemungkinan besar mainan politik kotor kerajaan yang memerintah untuk mengalihkan isu-isu tertentu.

10. Dengan ini, kami menafikan sekeras-kerasnya tuduhan ini dan mengingatkan rakyat bahawa mana-mana pemerintahan atau parti politik yang sanggup memperjudikan isu keselamatan negara untuk kepentingan tertentu adalah sebuah pemerintahan yang tidak bertanggungjawab. Pemerintahan yang menggunapakai kaedah tipu muslihat, berbohong, menggadaikan maruah orang lain untuk kepentingan sempit, mencemarkan hak rakyat dan memanipulasikan isu keselamatan negara adalah amat merbahaya bagi sesebuah negara yang harmoni.

11. Di samping itu, kami menyeru setiap lapisan rakyat agar menolak segala bentuk keganasan sama ada berupa tindakan ataupun pemikiran. Dan juga sekali lagi menyeru agar tidak mendokong pihak yang memperjudikan keselamatan negara demi kepentingan sempit.

Sahibus Samahah Dr Juanda Jaya
(Mufti Kerajaan Negeri Perlis, Ahli Fatwa Kebangsaan, kini Visiting Fellow Oxford University, UK)

Dr Mohd Asri Zainul Abidin
(Bekas Mufti Perlis, Ahli Majlis Agama Islam Perlis, Pensyarah Pengajian Islam USM)

23 Jun 2010

http://drmaza.com/home/?p=1165

Related Posts with Thumbnails